Tuesday 14 November 2017

Kemanusian Dalam Memoir

Teks: Anie-Alja
Don't run from it.


Koleksi Anie-Alja

Kata seorang penulis memoir Anne Lamott, dia tidak mahu mendengar atau membaca tentang sebuah kisah hidup yang sempurna tanpa pengalaman luar biasa.

Jika ada kisah budak didera mak ayah dan dia melarikan diri dalam hutan. Bertembung pula dengan seekor harimau dan akhirnya berjaya menyelamatkan diri daripada buruan binatang buas, barulah berbaloi untuk pembaca mengetahui kisahnya.

Kenapa pembaca perlu membuang masa mendengar kisah anak yang dididik baik oleh mak ayah? Isteri yang dijaga rapi keperluan dan ditatang kemahuannya oleh suami? Atau kisah usahawan yang berjaya menyambung tradisi perniagaan keluarganya yang kaya raya?

Apakah nilai atau kesamaan yang dicari pembaca daripada kisah begitu? Nilai apa yang dapat pembaca pelajari daripada kehidupan mewah seorang anak menteri yang segala kemahuan materialnya terhidang di hadapan mata? Ya, kita mungkin dapat mengenali beberapa jenama jam tangan mewah digilai artis, tetapi untuk apa?

Menarik, sebuah karya memoir menyentuh hati pembaca melalui kisah-kisah duka dalam kehidupan. Kita akan menilai pengalaman orang lain sambil membandingkan kelemahan diri, dan mencari titik serasi. "Ohh... aku faham rasa kehilangan itu. Ohh, ngilunya hati bila dikhianati. Ya, aku tidak keseorangan melalui penderitaan ini."

Sedar atau tidak, inilah nilai-nilai yang menyatukan perasaan sesama manusia.

Jadi, tidak dapat tidak, penulis tidak mungkin boleh lari daripada menulis sesuatu yang mencengkam jiwa. Meluahkan rasa hampa, kecewa dan marah dalam jiwa agar emosi itu dapat dipindahkan kepada pembaca. Agar pembaca dapat merasai kekalutan jiwa yang ditanggung penulis. Pembaca dapat memahami perspektif yang mahu disampaikan.

Dan pembaca rasa apa yang penulis  itu rasa.

Cerita mu cerita ku jua.
Rasa mu rasa ku jua.

Inilah keindahan sebuah memoir.



No comments:

Post a Comment

Pasaran Memoir

Teks: Anie Alja Memoir Masih Rebung Ramai penulis tempatan memberi gambaran yang salah tentang seni penulisan memoir. Memoir bukan...